Sunday, June 28, 2009

Wasiat Terakhir




Mengimbau kembali lembaran sirah Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, Padang Arafah menjadi suatu medan yang terpalit suatu peristiwa yang amat menyentuh hati dan mengharukan bagi manusia yang mempunyai tunjang aqidah muslim. Di sinilah tempatnya Rasulullah SAW menyampaikan amanatnya buat terakhir kalinya. Sebuah khutbah terakhir yang penuh maksud dan sama sekali menyentuh hati para pencinta Kekasih Allah itu.


Rasulullah SAW bertolak dari Mina ke Arafah setelah naiknya mentari 9 Zulhijjah. Sebuah khemah didirikan untuk baginda. Baginda masuk dan berada di dalamnya sehingga waktu Zohor. Kemudian, Rasulullah SAW mengarahkan al-Qaswah, yakni untanya untuk disiapkan. Lalu Rasulullah SAW menaikinya sehingga tiba di Wadi Uranah. Di hadapan Baginda SAW, ribuan sahabat mengelilingi Baginda SAW dengan perasaan yang penuh dengan debaran menanti apakah yang akan disampaikan oleh Baginda SAW.


Baginda SAW pun bangun berdiri dan menyampaikan khutbahnya yang penuh bersejarah itu.


"Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan, beristighfar, dan bertaubat kepada-Nya. Kita berlindung dengan-Nya daripada kejahatan diri dan keburukan amalan kita. Sesiapa yang Allah berikan hidayat kepadanya, maka tidak ada sesiapa yang boleh menyesatkannya. Sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada siapa yang boleh memberi hidayat kepadanya. Aku menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Aku menyaksikan bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya. Aku berpesan kepada kamu wahai hamba-hamba Allah supaya bertaqwa kepada Allah dan menggesa kamu supaya mentaati-Nya."


Aku membuka khutbahku ini dengan muqaddimah yang baik. Wahai manusia! Sila dengar apa yang akan kukatakan ini. Aku tidak tahu adakah aku akan dapat bersama kamu semua lagi selepas tahun ini, di tempat ini selamanya.


1. Sesungguhnya darah kamu,harta benda kamu, dan kehormatan diri kamu telah terpelihara (diharamkan) sebagaimana diharamkan hari ini, bulan ini, dan Bandar ini (Makkah dan kawasan sekitarnya).


2. Sesiapa yang memegang amanah, maka dia hendaklah mengembalikan amanah tersebut kepada tuan punyanya.


3. Ingatlah! Segala amalan jahiliyyah telah berada di tapak kakiku (yakni telah dihapuskan).


4. Tuntutan hutang darah di zaman jahiliyyah (sebelum Islam) telah diampunkan. Tuntutan darah pertama yang aku batalkan adalah darah Ibnu Rabi’ah bin al-Haris yang telah disusukan oleh Bani Saad kemudian telah dibunuh oleh Huzail.


5. Riba adalah haram dan aku memulainya dengan membatalkan riba yang akan diterima oleh Abbas bin Abdul Mutalib. Sesungguhnya ia dihapuskan keseluruhannya.


6. Wahai manusia! Takutilah Allah SWT dalam urusan yang berkaitan dengan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka sebagai amanah daripada Allah SWT dan mereka telah dihalalkan kepada kamu dengan kalimat Allah. Wajib ke atas merea untuk menjaga kehormatan kamu dan menjaga diri daripada melakukan perbuatan buruk, jika mereka lakukannya, maka kamu berhak untuk menghukum mereka tetapi bukanlah dengan pukulan yang mencederakan. Jika isteri-isteri kamu setia dan jujur terhadapmu, maka wajib ke atas kamu menjaga makan-pakai dengan baik.


7. Semua orang mukmin adalah bersaudara. Oleh itu, tidak halal bagi seorang muslim mengambil harta orang lain kecuali setelah mendapat kebenaran daripada tuannya.


8. Jangan kamu kembali menjadi kafir selepas pemergianku, di mana sebahagian daripada kamu memerangi sebahagian yang lain. Aku telah tinggalkan kamu suatu panduan. Jika kamu berpegang teguh dengan ajarannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya yakni al-Quran dan as-Sunnah.


9. Wahai manusia! Sesungguhnya tiada nabi lagi selepasku dan tiada lagi umat selepas kamu. Maka aku menyeru agar kamu menyembah Allah SWT Tuhan kamu dan menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, serta mengeluarkan zakat hartamu dengan kerelaan. Dan kerjakanlah haji ke Rumah Suci Tuanmu (Kaabah), untuk itu kamu akan masuk syurga Tuhanmu.


10. Tuhan kamu adalah Maha Esa, datuk kamu pula adalah satu, kamu semua berasal daripada Adam dan Adam telah dijadikan daripada tanah. Orang yang paling baik dalam kalangan kamu ialah mereka yang paling bertaqwa terhadap Allah. Tiada kelebihan bagi bangsa Arab berbanding bangsa lain kecuali dengan taqwa.


11. Allah SWT telah menetapkan hak menerima pusaka kepada keluarga si mati. Oleh itu, tidak boleh membuat wasiat kepada penerima pusaka. Sesungguhnya laknat Allah ke atas sesiapa yang mengaku sebagai bapa kepada bukan bapanya yang sebenar, juga laknat daripada para malaikat dan seluruh manusia.


12. Kemudian kamu akan disoal tentang aku. Maka apa yang kamu jawab? Mereke menjawab, “Kami bersaksi bahawa tuan telah menyampaikan dan menyempurnakan risalahmu”. Baginda SAW lalu mengangkat tangannya ke langit dan menurunkannya ke arah orang ramai sambil berkata, “Ya Allah! Saksikanlah”. Baginda SAW mengucapkannya sebanyak tiga kali. Orang yang mengulang kembali ucapan Rasulullah SAW dengan kuatnya di Arafah ialah Rabi’ah bin Umayyah bin Khalaf r.a.

No comments:

Post a Comment