Friday, April 10, 2009

SIAPA AKU DI DEPAN TUHANKU???



Allahuakbar, Allahuakbar
Allahuakbar, Allahuakbar
Subuhnya
di mana aku berada
masih enak dalam kelambu rindu
sambil berpoya-poya dengan waktu
masa bagaikan menderu
langkah tiada arah tuju
fikiran terus bercelaru
terlupa aku semakin dihujung waktu
siapa aku di depan Tuhan ku.
Zohornya
aku lebih memikirkan kelaparan
kehausan dan rehatku
aku lebih mementingkan tuntutan jawatanku
aku bertolak ansur dengan waktu
aku gembira membilang keuntungan
aku terlupa betapa besar kerugian
jika aku mengadaikan sebuah ketaatan
siapa aku di depan Tuhan ku.
Asarnya
aku lupa warna masa
cepat berubah bagaikan ditolak-tolak
aku masih dengan secawan kopiku
terlupa panas tidak dihujung kepala
aku masih bercerita
tentang si Tuah yang setia dan si Jebat yang derhaka
siapa aku di depan Tuhan ku
Maghribnya
aku melihat warna malam
tetapi aku masih berligar di sebalik tabirnya
mencari sisa-sisa keseronokan
tidak terasa ruang masa yang singkat
jalan yang bertongkat-tongkat
ruginya bertingkat-tingkat
siapa aku di depan Tuhan ku.
Isyaknya
kerana masanya yang panjang
aku membiarkan penat menghimpit dadaku
aku membiarkan kelesuan mengangguku
aku rela terlena sambil menarik selimut biru
bercumbu-cumbu dengan waktu
kusiap aku di depan Tuhan ku.
kini aku menjadi tertanya-tanya
sampai bila aku akan melambatkan sujudku
apabila azan berkumandang lagi
aku tidak akan membiarkan Masjid menjadi sepi
kerana di hujung hidup ada mati
bagaimana jenazah akan dibawa sembahyang di sini
jika ruangku dibiarkan kosong
Tanpa di isi dengan amalan hari esok.
jika wajahku menjadi asing
pada mentari dan juga bintang-bintang.
Azan dilaungkan ketika kita di lahirkan,
Solat di sempurnakan ketika kita ‘pergi’.
Antara AZAN & SOLAT, alangkah singkatnya
...RENUNGKANLAH...




Fitnah Wanita


Allah telah menentukan bahawa ada perkara tertentu yang menarik perhatian di antara lelaki dan wanita. Dan untuk itu, Allah juga yang mengatur bentuk hubungan yang perlu dilakukan, agar di antara mereka tidak timbul perkara-perkara yang tidak diingini. Walaupun demikian, ramai juga manusia yang melanggar batas-batas tersebut sehingga mereka tertunduk malu kerana keterlanjuran yang mereka lakukan. Lelaki yang tidak mampu mengawal dirinya daripada daya tarik yang ada pada wanita, pasti mudah untuk melakukan perkara-perkara yang menjadi larangan Allah Taala.

Apabila membicarakan tentang fitnah wanita, bukan bermakna wanita itu jahat dan sukakan keburukan. Tetapi apa yang dimaksudkan ialah keadaan mereka itu mampu menjadikan lelaki lupa daratan dan apabila usaha pencegahan tidak dilakukan, akan berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini. Ini sudah pasti apabila lelaki yang berkenaan tidak berhati-hati. Bagaikan binatang ternak yang memakan rumput berdekatan dengan padang larangan, adalah mudah bagi binatang itu memasuki kawasan tersebut.

Fitnah ini boleh berlaku dalam dua keadaan, iaitu sebelum kedua jenis ini berkahwin dan ketika atau selepas lelaki dan wanita ini bernikah. Sebelum bernikah, Islam menentukan adanya mahram dan yang bukan mahram. Antara lain, adalah untuk memudahkan manusia mengetahui orang yang dibolehkan mereka berhubung atau bergaul secara bebas dan yang tidak boleh berbuat demikian. Perlanggaran pada ketentuan ini akan mengakibatkan perkara mungkar yang berlaku. Kebiasaannya manusia melakukan sesuatu yang tidak baik secara berperingkat-peringkat sesuai dengan bentuk kemungkaran itu.

Bermula dari dosa kecil seperti melihat, bercakap-cakap (berdua-duaan), berpegangan dan bersentuhan kulit dan akhirnya melakukan dosa besar. Orang yang berzina sebenarnya tidak ada harganya di sisi Allah, kecualilah dia bertaubat. Mengatasi masalah zina tidak dapat diatasi hanya dengan menyediakan rumah-rumah kebajikan bagi mereka yang telah terlanjur. Apa yang utama ialah memberi kefahaman kepada mereka tentang panduan agama dalam masalah ini dan dalam masalah kehidupan yang lain.

Islam dalam masalah ini, memperuntukkan hukuman yang berat kepada penzina, kerana mereka telah bersungguh-sungguh untuk memulakannya. Setelah berkahwin pula, seorang suami kadangkala tidak berupaya memimpin dengan baik dan sempurna. Ketenangan yang sepatut dikecapi semasa bernikah, hanya menjadi impian kosong. Bernikah dengan wanita pilihan hati rupanya tidak seindah namanya. Sebabnya ialah proses dan matlamat perkahwinan tidak menjejaki apa yang telah digariskan oleh Allah.

Kecantikan yang menjadi dasar pilihan itu rupanya bagaikan memetik mawar yang berduri yang tidak ada wanginya yang harum. "Hai orang yang beriman, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka. Dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang ." (At-Taghaabun : 14)

Keadaan ini sebenar bukan suatu yang merendah-rendahkan wanita. Andaikata mereka mendapat pendidikan yang baik serta memahami tuntutan agama dalam perkara-perkara yang dihadapi, mereka justeru menjadi pendorong yang digigih. Sesuai dengan kejadian mereka seumpama daripada tulang rusuk yang bengkuk, kepemimpinan yang baik daripada pihak lelaki akan mampu membawa mereka ke jalan yang lurus. Jika demikian gambaran keadaan fitnah yang dihadapi melalui wanita, tentu lebih hebat keadaannya bilamana wanita itu aktif dalam perkara-perkara sumbang.

Kalau dalam masjid dan dalam rumah tangga keadaan boleh menjadi tidak tenteram kerana kurang fahamnya wanita terhadap sesuatu, tentulah lebih mencabar jikalau keadan ini digiatkan bila berada di luar masjid dan rumahtangga. Rasulullah saw pernah memberi pesanan kepada para sahabat baginda yang selalu duduk-duduk ditepi jalan agar menjaga hak-hak jalan, iaitu menjaga pandangan, tidak mengganggu orang yang lalu, menjawab salam serta melakukan pencegahan maksiat. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Said al-Khudry).

Ini bermakna, setiap anggota masyarakat akan menerima akibatnya apabila suasana maksiat disuburkan khususnya melalui wanita-wanita jahat. Tercatit dalam sejarah Islam, bahawa ayat 1-2 Surah at-Tahrim turun disebabkan angkara isteri-isteri baginda. Ketika baginda habis meminum madu di rumah isteri baginda Saudah, dia berkata bahawa ada bau yang busuk. Begitu juga ketika baginda selesai meminum madu di rumah Aisyah, dia diberitahu bahawa ada bau yang busuk. Lalu Rasulullah saw kerana untuk menjaga hati isterinya telah berjanji untuk tidak meminum madu lagi.

Allah lalu menurunkan firman Nya : "Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah halalkan bagimu, kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri kamu?" (at-Tahrim : 1) Perlu ditegaskan bahawa fitnah wanita tidak selalunya datang dari arah wanita itu sendiri. Bahkan selalunya godaan nafsu dalamlah yang menjadi pendorong bagi lelaki untuk mendekati wanita dan melakukan maksiat. Oleh kerana itu, wanita atau isteri bukanlah musuh yang sebenarnya yang perlu dijauhi. Perlakuan yang berlaku adalah antara dua jenis ini adalah gambaran umum tentang bentuk perhubungan yang diwujudkan.

Apabila masing-masingnya memberi perhatian yang wajar untuk sama-sama membina kebahagiaan, maka mereka akan mengecapinya dengan sempurna. Abu Hurairah ra berkata bahawa Rasulullah saw bersabda : "Sesempurna iman seseorang ialah yang paling baik budi pekertinya,dan sebaik-baik kamu ialah yang terbaik pergaulannya terhadap isterinya." (Riwayat Tirmizi). Dan dalam sebuah hadis dari Abdullah bin Amru al-Ash, bahawa Rasulullah bersabda : "Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah." (Riwayat Muslim)

Penegasan Islam tentang keadaan wanita dan potensi mereka untuk samada membangunkan atau meruntuhkan umat adalah suatu kenyataan yang perlu catitan semua pihak. Mereka perlukan bimbingan dan pimpinan yang baik.

Kematian Hati


Ramai orang tertawa tanpa menyedari sang maut sedang mengintainya. Ramai orang yang bersegera datang ke saf solat - kononnya orang yang amat merindukan kekasih. Sayang, ternyata ia datang tergesa-gesa hanya agar dapat segera pergi. Seperti penagih hutang yang kejam ia perlakukan Tuhannya.

Ada yang datang sekadar memenuhi tugas rutin mesin agama. Dingin, kering dan hampa, tanpa penghayatan. Hilang tak dicari, ada tak disyukuri. Dari jahil engkau disuruh berilmu dan bukan sekadar untuk berhenti hanya pada ilmu.

Engkau dituntut beramal dengan ilmu yang ALLAH berikan. Tanpa itu alangkah besar kemurkaan ALLAH atasmu.

Tersanjungkah (terasa banggakah) engkau yang hebat berbicara tentang keheningan senyap disaat rintih istighfar, kecupak air wudhu' pada dinginnya malam, lapar perut karena puasa atau kedalaman munajatmu dalam rakaat-rakaat panjang? Tersanjungkah engkau dengan licin lidahmu bertutur, sementara dalam hatimu tidak ada apa-apa.

Kau kunyah mitos pemberian masyarakat dan orang-orang berhati jernih bersangka baik, bahawa engkau adalah seorang saleh, alim, abid lagi mujahid, lalu puas meyakini itu tanpa rasa ngeri.

As-Shiddiq Abu Bakar r.a saja selalu gementar saat dipuji orang! "Ya ALLAH, jadikan diriku lebih baik daripada sangkaan mereka, janganlah Engkau hukum aku karena ucapan mereka dan ampunilah daku lantaran ketidaktahuan mereka", ucapnya lirih.

Ada orang bekerja keras dengan mengorbankan begitu banyak harta dan dana, lalu ia melupakan semua itu dan tak pernah mengenangnya lagi. Ada orang beramal besar dan selalu mengingat-ingatnya, bahkan ada yang menyebut-nyebutnya. Ada orang beramal sedikit dan merasakan amalnya sangat banyak. Ada juga orang yang sama sekali tak pernah beramal, lalu merasa banyak amal! Malahan, menyalahkan orang yang beramal, karena kekurangan atau ketidaksesuaian amal mereka dengan lamunan peribadinya, atau tidak mau kalah dan tertinggal di belakang para pejuang. Mereka telah menukar kerja dengan kata!

Dimana kau letakkan dirimu? Sewaktu kecil, engkau begitu takut gelap, suara dan segala yang asing. Begitu kerap engkau bergetar dan ketakutan. Sesudah pengalaman dan ilmu semakin bertambah, engkaupun berani tampil waima di hadapan sultan tanpa rasa gentar. Semua sudah jadi biasa, tanpa rasa.

Telah berapa hari engkau hidup dalam lumpur yang membunuh hatimu sehingga getarannya tak terasa lagi saat maksiat menggodamu dan engkau menikmatinya?. Malam-malam berharga berlalu tanpa satu rakaatpun kau kerjakan. Usia berkurang banyak tanpa tangga kedewasaan rohani meninggi.

Rasa malu kepada ALLAH, dimanakah kau kuburkan ia? Di luar sana, rasa malu tak punya harga. Mereka jual diri secara terbuka lewat layar kaca, sampul majalah atau bahkan melalui penawaran langsung.

Ini potret negerimu: 228 000 remaja adalah penagih. Daripada 1,500 responden pelajar sekolah menengah, 25 % mengaku telah berzina dan hampir separuhnya setuju remaja bisa berhubungan seks di luar nikah asal jangan dengan perkosaan tanpa rela!

Mungkin engkau mulai berfikir, "Biasalah.." bila bermain mata dengan aktivis wanita (sama ada engkau lelaki atau sebaliknya), di celah-celah rapat atau berdialog dalam jarak sangat dekat? Atau bergayut dengan menambah waktu yang tak kau perlukan, sekadar melepas kejenuhan dengan canda gurau jarak jauh..Betapa biasanya 'dosa kecil' itu dalam hatimu.

Kemana getarannya yang gelisah dan terluka ketika dulu, saat "TV Thaghut" menyiarkan segala "kesombongan jahiliyah dan maksiat"? Saat engkau muntah melihat laki-laki (pondan) berpakaian perempuan, karena kau sangat mendukung ustazmu yang mengatakan; jika ALLAH melaknat laki-laki berbusana perempuan dan perempuan berpakaian laki-laki, apa tertawa riang menonton acting mereka tidak dilaknat? Ataukah taqwa berlaku saat berkumpul bersama, lalu yang berteriak paling lantang "Ini tidak islami" berarti engkau yang paling islami?
Sesudah itu, tinggallah antara engkau dengan dirimu, tidakkah ALLAH ada disana? Sekarang engkau telah jadi kader hebat. Tidak lagi malu-malu tampil. Justeru engkau akan dihadang tentangan: sangat malu untuk menahan tanganmu dari berjabatan tangan lembut lawan jenismu yang muda dan segar. Hati yang berbunga-bunga didepan ribuan massa. Semua gerak harus ditakar (control) dan maka jadilah pertimbanganmu tergadai pada kesukaan atau kebencian orang, walaupun harus mengorbankan nilai terbaik yang kau miliki.

Lupakah engkau, jika tembakanmu ke sasaran meleset 1 milimeter, maka pada permulaan sejauh 300 meter ia belum tersasar walau 1 milimeter lagi ? Begitu jauhnya inhiraf (penyimpangan) di kalangan awam, sedikit sebanyak karena para elitnya telah salah melangkah terlebih dahulu.

Siapa yang mahu menghormati ummat yang "kiay"nya memberi ratusan ribu kepada seorang perempuan yang beberapa minit sebelum ia setubuhinya di sebuah kamar hotel berbintang, lalu dengan mudahnya mengatakan "Itu maharku, ALLAH waliku dan malaikat itu saksiku" dan sesudah itu segalanya selesai, berlalu tanpa rasa bersalah?

Siapa yang akan memandang ummat yang da'inya bergambar rapat dengan seorang perempuan muda artis penyanyi lalu mengatakan "Ini anakku, karana kedudukan guru dalam Islam adalah ayah, bahkan lebih dekat daripada ayah kandung dan ayah mertua" Akankah engkau juga menambah barisan kebingungan ummat lalu mendaftar diri sebagai 'alimullisan (alim di lidah)?

Apa kau fikir sesudah semua kedangkalan ini, kau masih aman dari kemungkinan jatuh ke lembah yang sama? Apa bezanya seorang remaja yang menzinai teman sekolahnya dengan seorang alim yang merayu rakan perempuan dalam pergerakan da'wahnya? Akankah kau impikan penghormatan masyarakat awam karena statusmu, lalu kau serang maksiat mereka yang semakin tersudut oleh retorikamu yang menyihir? Bila demikian itu,... sekeji apakah kamu ini?

Pernahkah kamu lihat sepasang ibu dan bapa dengan anak remaja mereka. Perhatilah langkah mereka di pasaraya sana. Betapa besar sumbangan mereka kepada modernisasi dengan banyaknya membeli produk makanan ringan, semata-mata karena selera "westernnya".
Engkau akan menjadi faqih pendebat yang hebat saat engkau teguk minuman halal itu, dengan perasaan "lihatlah, betapa Amerikanya aku". Memang, soalnya bukan Amerika atau bukan Amerika, melainkan apakah kamu punya harga diri.

Mahatma Ghandi memimpin perjuangan dengan memakai pakaian tenunan bangsa sendiri atau terompah tempatan yang tak berjenama. Namun setiap ia menoleh ke kanan, maka 300 juta rakyat India menoleh ke kanan. Bila ia tidur di rel kereta api, maka 300 juta rakyat India akan ikut tidur disana.

Kini, datang "pemimpin" ummat, ingin mengangkat harga diri dan penghormatan ummat dengan mempamerkan kereta dan rumah mewah, "kedai emas berjalan", juga segudang perhiasan. Saat fatwa dihebahkan, telinga ummat telah tuli oleh dentuman berita tentang hiruk pikuk pesta dunia yang engkau ikut mabuk disana. "Engkau adalah penyanyi bayaranku yang kukumpulkan dengan susah payah. Bila aku bosan, aku bisa memanggil penyanyi lain yang kicau merdunya lebih memenuhi seleraku" .

Thursday, April 9, 2009

Lima Belas Maksiat Yang Mengundang Bala

Maksud hadis : "Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., Rasullulah s.a.w. bersabda: "Apabila umatku telah membuat lima belas pekara, maka bala pasti akan turun kepada mereka, iaitu :

1. Apabila harta negara hanya beredar kepada orang-orang tertentu.
2. Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.
3. Zakat dijadikan hutang.
4. Suami yang menuruti kehendak isteri.
5. Anak derhaka kepada ibunya.
6. Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya.
7. Ia suka menjauhkan diri daripada ayahnya.
8. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.
9. Yang menjadi ketua satu kaum adalah yang terhina di antara mereka.
10. Seseorang yang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.
11. Khamar (arak) sudah diminum di merata tempat.
12. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki)
13. Para artis disanjung (menjadi pujaan).
14. Muzik banyak dimainkan.
15. Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat).

Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi ataupun mereka akan di ubah menjadi makhluk yang lain." H.R. Tarmizi.



Kala senja itu tiba
Kutermenung sendirian
Terasa diriku ini jauh dari rahmat Tuhan
Dosa yang aku lakukan
Menerjah ruang fikiran
Masihkah ada untukku keampunan
Gelap rasa dunia ini
Tanpa cahaya Ilahi
Baru kini kusedari
Jalan yang aku lalui
Memusnah pedoman hidup
Melempar hatiku ini ke lembah kehinaan
Dalam kegelapan itu
Terbit cahaya dari-Mu
Memandu hamba-Mu menuju iman
Menginsafi diri dengan ketaqwaan dan kesabaran
Kau terangi jalanku menuju syurga-Mu
Dan Kau tunjuki dengan hidayah-Mu
Hanyalah pada-Mu kuhadapkan diri
Mohon keampunan
Wahai Yang Maha Pengasih Bantulah hamba-Mu ini
Yang kian terumbang-ambing
Di dalam arus duniawi
Kuberdoa kepada-Mu
Memohon limpah rahmat-Mu
Mentari hidupku kan bersinar kembali

CINTA

Monday, April 6, 2009

Begitukah Akhirnya?




Ruang yang tadi terang benderang, tiba-tiba menjadi gelap. Hajat di hati ingin membaca sebelum melelapkan mata terpadam dek kegelapan malam.Aku bingkas bangun dari katil, menuju ke pintu. Tujuan di hati ingin meninjau ke bilik anak-anak.


" Tentu mereka sedang tidur lena.." getus hati sambil tangan meraba mencari tombol. Namun...

" Ummi, Kak Long dan Kak Ngah tak boleh tidur.. ada nyamuk..panas pula tu." Belum sempat pintu bilik dibuka, anak-anak lebih dulu menyua muka. Terpisat-pisat mereka mengesat mata. Dalam kesuraman cahaya bulan purnama yang masuk menembusi tingkap bilik, aku mendorong mereka ke katil. Suamiku kebetulan tiada di rumah kerana berprogram di luar kawasan.

" Kak Long dan Kak Ngah tidur dengan Ummi ye...elektrik tak ada malam ni ."

Oleh kerana masih mengantuk, mereka menurut sahaja tanpa banyak bicara. Aku mengambil majalah yang tadi ingin dibaca, kujadikan kipas untuk menyejukkan sedikit pusaran udara sekitar bilik kecilku.

" Kak Long dan Kak Ngah tidur ye, Ummi tolong kipas. Nanti sejuk sikit.." Aku berkata. Sempat telinga mendengar dengungan si nyamuk. Sambil mengipas, aku membuka mata luas, kalau-kalau ada nyamuk yang datang hinggap di tubuh anak-anakku..kasihan mereka. Terpaksa melelapkan mata dalam keadan tidak selesa begitu.


Itu di dunia...Entah mengapa sambil mengipas dan menampar nyamuk yang hinggap seekor dua, fikiran melayang mengenang keadaan di akhirat sana.


Di sini, aku masih boleh menjadi 'penyelamat' anak-anak dari situasi yang tidak menyenangkan. Mereka juga tetap mencari Ummi mereka ini untuk mengadu nasib diri. Bagaiman di sana nanti ? Mampukah lagi aku menjadi penyelamat mereka dari terjunam ke lembah neraka...Na'uzubillah. Dan, adakah anak-anakku mencari Ummi ini sekadar untuk menagih janji..


" Dulu di dunia, Ummi kata Ummi sayang kami. Sekarang ini kami minta bukti ".. mungkin itu jerit mereka. Di depan titian Sirat menanti..di bawahnya jurang neraka berapi.

" Kami tak bersalah, Ummi kami yang menjadikan kami tidak solehah..Salah kami tidak ditegur, silap kami tidak diperbetul. Lantas, kami terus dengan diri sendiri..Pakaian kami tidak ikut syariat. Ummi kata, tak mengapa kerana kami masih belum dewasa. Solat kami culas, Ummi kata tak mengapa. Dah baligh kelak, baru Ummi galak. Gelak tawa kami berdekah-dekah. Ummi buat tak endah. Ummi kata, tak mengapa. Dah besar nanti, baru Ummi menyapa..jangan begitu bila ketawa."

" Namun belum sempat Ummi menegah, Ummi lebih dulu meninggalkan alam ini. Kami dah biasa begini, terus dewasa tanpa panduan ilahi. Mari Ummi, terjun bersama kami..selayaknya kita di sini " kata mereka lagi, lantas pantas mencapai tanganku ke tepian api..


Astaghfirullah..Aku terjaga dari lena. Tertidur rupanya. Ku toleh ke sisi, anak-anak masih dibuai mimpi. Bilik yang tadi suram, telah kembali terang. Terngiang-ngiang lagi 'jeritan' anak-anak dalam mimpiku tadi. Perlahan-lahan aku bangun. Sementelah, belum masuk Subuh, aku ingin munajat pada Ilahi, mohon kekuatan dan petunjuk. Jangan 'peristiwa' dalam mimpi menjadi realiti.





' Ya Allah, dalam hening malam aku sujud pada Mu. Kumohon jangan pernah berpaling dariku. Aku tak punya siapa-siapa untuk menolong. Aku menagih rahmat kasih sayang Mu, Ya Allah. Bantulah aku, dalam mendidik anak-anakku. Kurniakan aku kekuatan menegur dan membetulkan salah silap mereka. Dengan baki usia yang masih bersisa ini, ya Allah. Aku akan bersama suami menunjukkan jalan yang benar kepada mereka. Pandulah kami, bimbinglah kami. Kami ingin mati dalam redha Mu. Kami ingin menuju akhirat Mu tanpa beban yang masih berbaki.
Alam kini penuh fitnah, dinding kami dari fasad dan jahat dunia. Kami tak daya menolak tanpa bimbingan dan hidayah Mu.
Kurniakan kami anak-anak yang soleh dan solehah agar di sana kelak kami tidak saling menyalak.
Kami akan mendidik mereka berlandas syari'at, Al Quran dan Sunnah sebagai pengikat. Ya Allah, hadiahkan kami redhamu, izinkan kami bernaung di bawah cinta Mu, walau kami sedar kami banyak dosa tapi kami tak akan pernah berputus asa'.


**********************************


Untuk renungan wanita bergelar ibu dan bakal ibu,

Kita sekian lama berbangga kerana syurga di bawah telapak kaki kita, namun sepatutnya kita lebih dulu insaf, kerana syurga atau neraka seorang anak, kitalah pencorak pertamanya. Semoga beroleh manfaat.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

DOA-DOA MUSTAJAB

1 Rasulullah s.a.w. bersabda: Siapa yang membaca diwaktu pagi: “ Dengan nama Allah yang tidak akan berbahaya segala sesuatu dilangit atau dibumi bila disebut nama Allah, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui,” Sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan terkena bala sehingga petang, dan siapa yang membaca diwaktu petang, dia tidak akan terkena bala (bencana) sehingga pagi.


2 Rasullah s.a.w. bersabda: Siapa yang membaca waktu pagi: “ Ya Allah, segala puji bagi-Mu, tiada Tuhan kecuali Engkau, Engkau Tuhan dan aku hamba-Mu, aku percaya pada-Mu, dengan ikhlas untuk-Mu agamaku, aku berada diwaktu pagi ini menurut perintah-Mu dan mengharap janji-Mu sekuat tenagaku, aku bertaubat kepada-Mu dari kejahatan amalku, aku minta ampun terhadap dosa-dosaku, sungguh tidak dapat mengampunkan dosa kecuali Engkau.” Maka apabila dia mati pada hari itu, pasti dia masuk syurga. Dan jika dibaca petang hari dan mati pada malamnya, pasti masuk syurga.

3 Siapa yang membaca doa ini setiap kali selepas sembahyang lima waktu, Maka dia tertulis dari golongan wali abdal: “Ya Allah, perbaikilah umat Muhammad, Ya Allah kasihanilah umat Muhammad, Ya Allah lapangkanlah umat Muhammad, Ya Allah ampunkanlah umat Muhammad dan semua orang yang percaya kepada-Mu”.

4 Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari usman bin abil ash berkata: Rasulullah s.a.w. menziarahku ketika aku sakit hampir mati, maka Nabi s.a.w.
bersabda kepapaku: Usaplah salitmu itu dengan tangan kanan mu sambil membaca: “ Aku berlindung dengan kemulian Allah dan kekuasaan-Nya dari bahaya apa yang aku rasakan dan aku khuatirkan”. Maka, aku lakukan apa yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. itu, dan Allah menghilangkan apa yang aku rasakan sakit itu.

5 Maka Nabi s.a.w. bersabda : Ingatlah sekiranya kamu pada waktu petang itu membaca: “ Aku berlindung dengan kalimat Allah yang sempurna semuanya dari bahaya apa yang telah dijadikan”. Nescaya tak ada sesuatu yang dapat membahayakan pada mu.

6 Malik meriwayatkan dari Yahya bin Said berkata: Khalid bin Al-Walid mengeluh : Ya Rasulullah, aku selalu terganggu danditakut-takutkan dalam tidurku. Maka Rasullulah s.a.w. bersabda: Katakanlah: “ Aku berlindung dengan kalimat Allah yang sempurna dari Murka-Nya dan Seksa-Nya dan kejahatan hamba-Nya, dan dari bisikan-bisikan godaan syaitan, juga aku berlidung kepada-Mu Tuhan dari kehadiran mereka”.





7 Nabi s.a.w. memegang Muaz dan bersabda: Aku berpesan kepadamu Muaz, jangan kamu tinggalkan setiap kali habis sembahyang membaca: “ Ya Allah, tolonglah aku un tuk selaulu berzikir dan mempelajari peringatan-peringatan-Mu, dan bersyukur kepada-Mu, dan menyempurnakan ibadatku kepada-Mu”.


8 DOA SELEPAS SOLAT SUNAT HAJAT.

Ya Allah, sesungguhnya kami mohon kepada-mu hal-hal yang dapatmenetukan rahmat-mu dan menguatkan pengampunan-mu, memperoleh segala kebaikan, menyelamatkan dari kejahatan, memperoleh syurga dan selamat dari neraka. Ya Allah, sesungguhnya engkau memdengar ucapanku, melihat tempat tinggalku, mengetahui lahir dan batinku, dan tidak satu urusan pun dari urusan ku yang yersembunyi oleh-mu. Dan aku adalah hamba yang sengsara dan amat memerlukan, hamba yang meminta pertolongan dan memohon bantuan, hamba yang penakut, yang minta dikasihi dan mengakui dan menyatakan semua dosa-dosa kepada-mu. Ya Allah, aku mohon kepada-mu sebagaimana memintanya si miskin, dan aku berdoa kepada-mu seperti doanya orang yang berdosa yang amat hina. Aku mohon kepada-mu, seperti orang penakut lagi pula buta, juga seperti berdoanya orang yang menundukkan jiwanya, merendahkan raganya dan wajah serta hidungnya kepada-mu.

9 DOA SELEPAS MEMBACA Al-QURAN.

Ya Allah, berilah rahmat kepada kami dengan membaca Al-Quran yang agong, dan jadikanlah ia sebagai ikutan serta cahaya pertunjuk dan rahmat bagi kami. Ya Allah, dengan membaca Al-Quran ini kami menjadi lebih ingat sesuatu yang kami lupa, ajarilah kami sesuatu yang kami tidak ketahui. Engkau rajinkanlah Al-Quran ini sebagai benteng pertahanan kami, Ya Tuhan yang memiliki seluruh alam. Ya Allah, kami mohon dengan kebenaran Al-Fatihah yang agung, yang disebut “ sab” al-mathani dr.kitab Al-Quran yang mulia itu, supaya engkau muliakan kami kebaikan-kebaikan dan engkau berikan kami kemulian dalam mengejarkan kebaikan. Kami memohon agar Engkau jadikan kami ahli kebajikan. Peliharakanlah kami, agama kami, diri kami, anak kami, harta benda kami, sahabat-sahabat kami, dan orang-orang yang kami kasihi dari bala bencana, ujian dan kesulitan, kesusahan dan kemudaratan. Sesungguhnya Engkau lah yang menolong kepada jalan kebaikan dan memberi kelebihan kepada semua kebaikan dengan rahmat-mu, Wahai Tuhan yang maha pemurah lagi mengasihani.

DOA-DOA PERLINDUNGAN DIRI DARI SYAITAN, JIN, MANUSIA, BINATANG DAN BALA BENCANA

1 DOA MOHON PERLINDUNGAN DARI KEJAHATAN ATAU APABILA MELIHAT SESUATU YANG MENAKUTKAN

Aku berlidung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari kemurkaan-Nya dan kejahatan hamba-Nya, aku berlindung dari hasutan-hasutan syaitan dan dari kedatangan mereka ( syaitan-syaitan itu ) kepada aku.

2 DOA MOHON PERLINDUNGAN DARI PENIPUAN

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlidungan dengan Engkau daripada kawan yang menipu, matanya melihatku dan hatinya menjagaku, sekiranya dia melihat kebaikan dia menyembunyikannya, sekiranya dia melihat keburukan dia menyebarkannya.

3 DOA MOHON PERLIDUNGAN DARI SYAITAN DAN GODANYA

Aku berlindung dengan Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dari syaitan yang terkutuk, dari godaannya baik tiupan atau hembusannya.

4 DOA MOHON BERLIDUNG DARIPADA KEJAHATAN ANGGOTA BADAN

Ya Allah, sesungguhnya aku bermohon supaya Engkau melindungi aku daripada kejahatan pendengaranku, pandanganku, pertuturanku, hatiku dan juga daripada kejahatan mengungkit-ungkit.

DOA-DOA KEPERLUAN DIRI/KELUARGA/KESULITAN/BENCANA/DAN REZEKI

1 DOA MOHON BAIK AKHLAK

Ya Allah, curahkan kurnia hidayah-Mu kepadaku untuk melaksanakan amal perbuatan serta perilaku yang baik. Tidak ada yang memberi petunjuk untuk melaksanakan perbuatan serta perilaku yang baik kecuali Engkau. Dan jauhkanlah buruknya perilaku dan perbuatan dariku, dan tidak ada yang dapat menjauhkan aku darinya kecuali Engkau.

2 DOA MOHON DIJAUHKAN HATI DARI HASAD DENGKI

Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasab dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman, Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan rahmat-mu.
( Al-Quran, surah Al-Hasyr, 10)

3 DOA MOHON APA YANG DIPOHON RASULULLAH

Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu dari sebaik-baik apa yang telah dimohonkan kepada-mu oleh Nabi-Mu Muhammad. Dan aku berlidung kepada-Mu dari sejahat-jahat kejahatan yang Nabi-Mu Muhammad memohon perlindungan kepada-Mu daripadanya. Engkaulah tempat memohon pertolongan. Engkaulah yang menyampaikan sesuatu, tidak ada upaya dan tidak ada kekuatan selain dengan Allah.
( Hadis Riwayat At-Tarmizi dari Abu Umamah )




4 MOHON REDA DENGAN KETENTUAN ALLAH

Dengan nama Allah, dipohon pelihara diriku, hartaku dan agamaku. Ya Allah, jadikanlah aku reda dengan penentuan-mu dan berikanlah keberkatan kepadaku pada perkara-perkara yang ditetapkan bagiku agar aku tidak suka menghendaki sesuatu yang Engkau lambatkan serta tidak pula suka melambatkan sesuatu yang Engkau segerakan.

5 DOA ANAK UNTUK IBU BAPA & MUSLIMIN DAN MUSLIMAT

Ya Allah, Ya Tuhan kami, ampunilah segala dosa kesalahan kami dan dosa-dosa kesalahan Ibu Bapa kami, serta kasihanilah Ibu bapa kami sebagaimana mereka berdua mengasihani kami semasa masih kecil. Ya Allah, Ya Tuhan kami, ampunilah sekalian muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat, yang masih hidup dan yang telah mati.
11 DOA MOHON MASUK SYURGA

Ya Allah, Engkau Tuhanku, tidak ada Tuhan melainkan Engkau, Engkau telah menjadikan daku dan aku hambamu, dan aku sentiasa berada dalam gengaman-Mu dan tetapanmu tidak ada kesunggupanku, aku berlindung dengan Engkau daripada kejahatan apa yang telah aku perbuat, aku mengaku kepada Engkau dengan nikmat-Mu ke atas ku dan aku mengaku kepada Engkau dengan dosaku yang telah aku lakukan, maka ampun oleh-Mu bagiku, kerana bahawasanya tidak ada yang mengampuni dosa melainkan Engkaulah jua.

12 DOA MOHON SELAMAT DARI BALA DUNIA DAN AZAB AKHIRAT

Ya Allah, selamatkan kami dari setiap bala didunia dan azab diakhirat dan jauhilah dari kami keburukan-keburukan dunia dan azab akhirat, dengan rahmat-mu,Wahai Tuhan yang Maha Penyayang.

DOA-DOA MENYEMPURNAKAN IBADAT

1 DOA PERMULAAN DOA

Allahumma Soli ala Syaidina Muhammad, Solatan tunjinabiha min jamiil ahwali walafat, Watakdi lana biha min jamiil hajat, Watutahiruna biha min jamiis saiyiat, Watar fauna biha indaka a’ lad darajat, Watuballighuna biha aksal gayati min jamiil khairat. Fil hayati waba’dal mamat. Waala alihi wasahbihi wasallam.

2 MOHON KEAMPUNAN DOA
Allahumma takobbal minna solatana tammah, warghfirlana zunubana ammah, wala tuazzabna yaumalkiya mah, innaka ala kuli syaien kadir.

3 DOA MOHON KESUDAHAN YANG BAIK

Allahhumma akhtimlana bihusnil kholimah, wala takhtim alaina bisau ti khotimah.


4 DOA MOHON HIDUP MATI DALAM IMAN

Ya Allah, Wahai Tuhan Kami, hidupkan kami dengan iman, matikanlah kami dalam iman serta masukkan kami ke dalam syurga bersama-sama iman. Ya Allah, Wahai Tuhan Kami, ampunilah segala dosa-dosa kesalahan kami dan dosa-dosa kesalahan ibu bapa kami, serta kasihanilah ibu bapa kami sebagaimana mereka berdua mengasihani kami semasa masih kecil. Demikian juga ampunilah semua kaum muslimin dan muslimat, baik yang hidup mahupun yang telah meninggal dunia, dengan rahmatmu Ya Allah, Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

5 DOA MOHON BERLINDUNG DARI KUFUR DAN FAKIR

Ya Allah, sesunnguhnya aku berlindung dengan Engkau dari kufur dan papa. Ya Allah, aku berlindung dengan Engkau dari azab kubur, tiada Tuhan melainkan Engkau.

6 DOA MOHON DIJAUHI SYIRIK

Ya Allah, sesungguhnya kami mohon pertolongan dengan Engkau dari menyengutukan Engkau dengan sesuatu apa jua pun yang kami tahu sendiri dan kami memohon ampun daripada Engkau apa yang kami tidak ketahui.

7 DOA MOHON AMPUN, IBU BAPA DAN MUSLIMIN & MUSLIMAT

Ya Allah, ampunilah kami dan ibu bapa kami, anak-anak kami dan guru-guru kami dalam agama dan orang-orang yang memberi nasihat baik kepada kami dan orang-orang yang mengajar kami dengan berdoa dan seterusnya sekalian kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat. Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami dan rahmatilah kami dan redailah (apa-apa amalan kami) dan terimalah (permohonan-permohonan ) kami dan tempatkanlah kami disyurga dan bebaskan kami dari neraka.

8 DOA MOHON TETAPKAN IMAN YANG SEMPURNA

Ya Allah, sesungguhnya kami memohon Engkau tetapkan iman kami yang sempurna dan kurniakanlah kami sebenar-benar iman dan keyakinan pada lidah kami yang sentiasa menyebut nama-Mu dan jadikanlah hati kami yang khusyuk dan taubat kami sebenar-benar taubat yang diterima dan kami kelapangan ketika ajal maut dan kurniakanlah kami kemenangan dengan beroleh syurga dan terjauh dari neraka.

9 DOA MOHON KEAMPUNAN

Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunilah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka.
( Al-Quran, surah A-li imran, 16)

10 DOA MOHON KEBAIKAN DUNIA DAN AKHIRAT

Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan didunia dan kebaikan diakhirat dan peliharalah kami dari azab neraka.
( Al-Quran, surah Al-Baqarah, 201)

11 DOA MOHON KESEJAHTERAAN AKHIRAT

Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasul mu dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat, sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji.
( Al-Quran, surah A-li imran, 194 )

Tiada Kekuatan Selain Allah

'LAHAULA WALA QUWATA ILLA BILLAH HIL ALIYIL A’ZIM'



'Tiada Kekuatan dan Daya Melainkan dari Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Mulia'


Berzikirlah selalu kerana ia adalah salah satu cara untuk kita menghubungkan diri kita dengan Allah, disamping itu, cara ini jugalah yang akan menjadikan hati manusia lembut. Sedangkan Saidina Umar R.A memeluk islam dengan mendengar adiknya sendiri berzikir (membaca surah Taha), padahal sebelum ini, beliaulah seorang yang paling kuat menentang ajaran agama islam yang dibawa oleh rasulullah.


Walaupun hanya sebaris ayat, tetapi jika dihayati sedalam-dalamnya, ia akan memberikan kesan yang mendalam dalam kehidupan. Sesungguhnya manusia ini semuanya lemah. Tidak berkuasa. Dan yang berkuasa pun, apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan kekuasaan Allah.


Malahan kuasa tersebut dkurniakan oleh Allah, bukan untuk kita kufur kepadaNya, tetapi untuk kita lebih mendekatkan diri kepadaNya. Selemah-lemah manusia, tidak berdaya untuk berbuat apa-apa, kecuali dengan kehendak Allah semata-mata. jika Allah tidak mahu ia berlaku, ia mustahil akan berlaku. Tetapi apabila Allah menyebut ‘Kun’, maka ‘Yakun’ lah apa yang dikehendakiNya.

Oleh itu, apa-apa pun perbuatan yang kita lakukan ataupun hendak kita lakukan, mestilah bersandarkan konsep zikir ini. Malahan, ayat ini juga boleh menjadikan motivasi untuk kita mencapai kejayaan. Tetapi mestilah disertakan dengan usaha yang bersungguh. insyaAllah, walaupun kita rasa mustahil akan berlaku, ia akan berlaku.

Jadikanlah zikir ini sebagai nyanyian mulut kita setiap hari, terutamanya dikala waktu kesusahan menimpa diri. Kerana apabila manusia terus-menerus mengingati Allah sewaktu dalam kesusahan, maka mereka tidak akan sekali-kali berputus asa kerana yakin atas apa yang Allah taqdirkan.

Sama-samalah kita menggunakan zikir-zikir dan ayat-ayat al-Quran sebagai motivasi kita dalam kehidupan.